Tuesday, June 4, 2013

Keburukan Korek Telinga

SEJAK kecil lagi kita telah didedahkan dengan kaedah mencuci telinga yang telah diamalkan secara turun-temurun oleh mereka yang lebih berusia daripada kita.

Baik dengan menggunakan putik kapas oleh mereka yang dikatakan tergolong dalam kategori moden, mahupun penggunaan benda-benda tajam atau secara spesifiknya pin rambut oleh mereka yang agak tradisional.

Kedua-duanya digunakan oleh mereka yang mempunyai niat dan tujuan mencuci telinga yang kononnya kotor dan tersumbat dengan tahi telinga.

Ada yang menjadikannya sebagai satu rutin atas dasar telinga perlu dicuci selalu dan ada juga yang telah menjadikannya suatu amalan yang tidak boleh ditinggalkan setiap kali selepas mandi disebabkan oleh kerana terlalu biasa dengan amalan mengorek telinga.

Bagi mereka yang tidak berapa berkemampuan pula, agak jarang mereka dapat merasai nikmat mengorek telinga dengan menggunakan putik kapas. Jauh sekali untuk menjadikannya sebagai rutin harian.

Lantas, golongan ini sering dianggap tidak pandai menjaga kebersihan diri kerana membiarkan tahi telinga terkumpul dalam lubang telinga.

Tanggapan salah

Mungkin suatu pendedahan atau maklumat baru yang agak mengejutkan sekiranya anda diberitahu bahawa penggunaan putik kapas sebenarnya bukan sahaja tidak mampu membersihkan telinga, bahkan ia boleh menyebabkan masalah gangguan pendengaran.

Itulah hakikat sebenarnya jika anda bertanya kepada pakar telinga di mana-mana klinik atau hospital swasta sekalipun.

Itu bukanlah suatu yang menghairankan kerana kepercayaan yang kurang tepat ini tidak begitu terdedah kepada masyarakat awam.

Hanya mereka yang mengalami masalah tersumbat tahi telinga sahaja yang mengetahuinya kerana tabiat mengorek telinga secara rutin inilah yang menjadi punca yang membawa mereka ke klinik berjumpa doktor.

Lilin telinga

Sesungguhnya manusia diciptakan dalam sebaik-baik kejadian, lengkap dengan mekanisme yang membolehkan kita menjalani hidup yang selesa, walaupun tanpa pengunaan perkakasan tambahan.

Saluran telinga manusia mempunyai bahagian yang dilapisi kulit yang menghasilkan lilin telinga (ear wax).

Saluran telinga mempunyai struktur menyerupai rerambut halus di bahagian menghala ke luar, dan bahagian tanpa rerambut yang letaknya lebih ke dalam yang hampir dengan gegendang telinga.

Lilin telinga, yang ramai antara kita mengenalinya sebagai tahi telinga, terhasil daripada kelenjar yang terletak di bahagian yang lebih ke luar daripada keseluruhan salur telinga.

Majoriti dalam kalangan masyarakat menganggap lilin telinga ini kotor dan perlu dicuci, dan fahaman ini sebenarnya adalah salah!

Kesan mengorek telinga

Menjadi sesuatu yang lumrah bahawa apa sahaja yang dijenamakan sebagai ‘tahi’ itu perlu dicuci. Di sinilah timbulnya kesilapan yang pertama.

Lilin telinga terhasil daripada proses fisiologi dalam diri manusia. Amaun yang dihasilkan amatlah sedikit.

Apa yang menjadikannya banyak ialah tindakan kita yang sering mengganggu proses pencucian lilin telinga ini yang sepatutnya berlaku tanpa diganggu.

Rerambut halus yang terdapat dalam saluran telinga sebenarnya telah diprogramkan untuk ‘menyapu keluar’ lilin telinga ini.

Disebabkan itulah bagi mereka yang tidak menggunakan putik kapas, akan terasa seperti debu-debu berhampiran dengan kawasan cuping telinga.

Itu sebenarnya ialah lilin telinga yang secara automatik telah disapu keluar oleh petugas-petugas yang sentiasa bekerja di dalam telinga kita.

Apabila tugas mereka diganggu, maka semakin hari semakin banyaklah lilin telinga akan terkumpul dan terperosok ke bahagian yang lebih ke dalam.

Sampai ke suatu tahap, kita akan mengalami apa yang dikenali sebagai kurang dengar jenis konduktif (conductive hearing loss).

Tidak kurang juga kes-kes di mana hujung kapas terlucut daripada bahagian plastiknya dan menyebabkan ia tertinggal di dalam lubang telinga.

Ia tidak dapat dikeluarkan di rumah oleh pesakit sendiri atau kawan yang ingin membantu. Ini kerana lokasinya yang agak jauh ke dalam, ruangnya yang sempit serta susunan saluran telinga yang tidak lurus sepenuhnya.

Pengeluaran kapas berkenaan biasanya memerlukan pemeriksaan mikroskopik dan putik kapas yang tertinggal diambil keluar dengan menggunakan forseps.

Ada juga di kalangan kita yang menggunakan benda-benda yang lebih berbahaya seperti pin rambut, lidi, hujung pensel dan sebagainya untuk mengorek telinga.

Penggunaan alat-alatan ini lebih mengundang padah kerana ia akan lebih mendedahkan pesakit kepada kecederaan yang serius seperti luka pada saluran telinga dan kerosakan pada gegendang telinga selain daripada ia turut mendedahkan kepada risiko jangkitan kuman pada saluran telinga yang dipanggil otitis eksterna.

Kurang dengar

Apabila terlalu banyak lilin telinga yang termampat dan terperosok ke dalam, ia semakin menghampiri gegendang telinga.

Gegendang ini berfungsi sebagai penukar daripada tenaga bunyi kepada tenaga getaran atau mekanikal.

Apabila ada sesuatu yang menyentuh apatah lagi menghimpit dan menekan ke atasnya, maka sistem konduksi bunyi akan terganggu dan terjadilah masalah pendengaran.

Perlu difahami, kehadiran gumpalan lilin telinga yang termampat akibat sentiasa ditolak masuk oleh putik kapas akan menyebabkan gelombang bunyi yang sepatutnya masuk ke dalam telinga akan terhalang.

Lantas, jumlah stimulasi bunyi yang sampai ke gegendang untuk diinterpretasi akan menjadi minimum dan mungkin tidak cukup untuk tahap pendengaran yang jelas.

Rawatan

Pesakit selalunya akan hadir ke klinik dan hospital apabila terjadinya masalah pendengaran yang mengganggu tugas harian mereka.

Ada juga di kalangan pesakit yang menghadapi bunyi bising (tinnitus) di dalam telinga. Setelah menjalani pemeriksaan dan lilin telinga termampat disahkan, doktor akan menggunakan beberapa kaedah untuk mengeluarkannya.

Kaedah konvensional yang digunakan ialah dengan memancutkan air suam ke dalam telinga dengan menggunakan picagari (ini hanya boleh dilakukan oleh mereka yang terlatih sahaja).

Dengan cara ini, lilin telinga akan menjadi sedikit lembut dan lama-kelamaan ia akan terkeluar dengan arus air tersebut.

Bagi sesetengah kes pula, ketulan-ketulan yang terlalu keras dan mampat akan dilembutkan terlebih dahulu dengan sejenis ubat titis telinga dan kemudiannya barulah lilin termampat tadi mudah dikeluarkan.

Sesetengah hospital, terutamanya hospital besar yang mempunyai perkhidmatan pakar telinga, kaedah penyedutan lilin telinga di bawah pemeriksaan mikroskopi boleh dilakukan.

Apabila lilin telinga telah dikeluarkan, biasanya pesakit akan memperoleh tahap pendengaran seperti sedia kala.

Bunyi bising dalam telinga atau tinnitus akan hilang dan rasa selesa kembali dinikmati. Nasihat yang diberikan ialah supaya pesakit tidak lagi menggunakan putik kapas pada masa akan datang.

Kita perlu ingat bahawa badan kita telah diciptakan dalam keadaan yang cukup baik dan serba lengkap.

Sebarang manipulasi hendaklah disertakan dengan ilmu yang mencukupi agar kita tidak ditimpa mudarat.

Benarlah kata orang-orang tua bahawa menjaga kesihatan dengan cara mencegah adalah lebih baik, lebih selesa, lebih mudah dan jauh lebih murah daripada merawat



Credit to : http://www.utusan.com.my